Monday 7 March 2022

Segeralah bertaubat

BERSABDA Rasulullah s.a.w., “Sesiapa yang pernah melakukan dosa bersegeralah berwuduk, kemudian dirikan solat, dan mohonlah keampunan kepada Allah. Allah pasti akan menerima permohonannya itu.” – HR Abu Daud & Nasai’i.

Hadis di atas menjelaskan tentang cara bertaubat sebagaimana yang dianjurkan Baginda s.a.w. iaitu dengan mendirikan solat sunat taubat. Tiada waktu yang khusus bagi mendirikan solat sunat taubat. Seeloknya segera apabila menyedari kesilapan yang dilakukan kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.


Bermakna solat ini boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana pun jua. Namun begitu waktu yang paling baik dianjurkan adalah sepertiga malam ketika Qiamullail.
“Apakah ada orang yang berdoa (sepertiga malam ini) maka Aku akan mengabulkannya. Dan tiada sesiapa yang meminta ampun kepada Ku melainkan Aku akan mengampunkannya serta tiada siapa yang bertaubat kepada Ku melainkan Aku akan memberinya taubat.” – HR Bukhari.
Solat ini dilakukan sebanyak dua rakaat sepertimana petikan hadis daripada Saidina Ali r.a., Abu Bakar telah menceritakan kepada ku dan Abu Bakar r.a. adalah seorang yang benar, dia berkata, Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak seorang hamba pun yang telah mengerjakan sesuatu dosa, lalu dia mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, setelah itu dia memohon ampun kepada Allah (atas dosanya tersebut), maka Allah akan mengampunkan dosanya.” – HR Tirmizi.


Walaupun hadis di atas menyebutkan dua rakaat, tetapi boleh juga dilakukan lebih dari itu, sama ada empat atau enam rakaat. Jika empat rakaat boleh dilakukan dengan sekali salam sebagaimana solat Asar atau Zohor.


Lafaz niatnya ialah, “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.
Tidak dikhususkan bacaan surah tertentu dalam solat ini. Terpulang untuk membaca apa sahaja surah. Namun jumhur ulama menyebutkan surah al-Kafirun dalam rakaat pertama dan surah al-Ikhlas di rakaat yang kedua.


Di dalam sujud yang terakhir selepas bacaan sujud, bacalah doa nabi Yunus sewaktu Baginda a.s. ditelan ikan Nun dengan bersungguh-sungguh. Lafaznya berbunyi:
“Laa Ilaha Illaa anta, Subhaanaka Inni, Kuntu Minazhalimiin.” (Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha suci  Mu,  sesungguhnya  aku  terdiri dari orang-orang yang  zalim.”)
Namun begitu, jika tidak membacanya pun tidak menjadi kesalahan dan solatnya tetap sah.
Selesai solat, beristighfarlah sebanyak mungkin. Lafaznya “Astaghfirullah hal a’zhim, allazi laa ilaha illa huwal haiyyul qayyumu wa atubu ilaih.” 


Kemudian berdoalah kepada Allah dengan khusyuk dan tawaduk mohon keampunan daripada segala dosa yang telah dilakukan. Semoga taubat yang kita pohonkan itu diterima Allah S.W.T. Wallahu a’lam.

ajak sang dewa

Friday 16 January 2015

Abam Sado

Lemah lembut dan tegas bukanlah dua perkara yang mudah untuk digabung.
Apabila kita bersikap lemah lembut, kita juga sukar hendak bertegas.
Ketika mana kita bertegas, sulit pula untuk terus berlemah lembut.
Lazimnya apabila kita bertegas, kita berkeras, menggunakan kekerasan untuk menzahirkan ketegasan. Demikian juga apabila kita lemah lembut, kelembutan kita menjadi kelemahan dan sukar hendak menegaskan sesuatu.
ABAH yang lemah lembut dan tidak tegas, anaknya jadi macam Sazali.
ABAH yang garang, keras dan kasar, mungkin tidak perlu difilem-filemkan kerana itulah yang biasa ada di depan mata, dalam kehidupan kita.
Berbicara tentang hal sebegini, bukanlah betul atau salah pertimbangannya. Mana yang betul, mana yang salah, adalah persoalan yang rumit. Banyak sahaja contoh cara yang kita anggap salah itu menatijahkan yang baik-baik, banyak juga contoh yang kita anggap betul itu menatijahkan kekesalan, malah aib dan kekecewaan.
Hanyasanya, hal ini perlu dipertimbangkan pada mana yang lebih berkesan dan boleh membantu kita mencapai objektif, tanpa mengenepikan dinamiknya cara mendidik yang berubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain.
Maka dengan sebab rahmat dari Allah , engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. [Āl ‘Imrān 3: 159]
Soalnya bukanlah betul atau salah. Tetapi mana yang menjinakkan, mana yang meliarkan. Yang menjinakkan mungkin akan membuka lebih banyak ruang mendidik dan menanam nilai. Manakala meliarkan lagi menjauhkan, menyebabkan kita sering terpaksa menunggu pengalaman yang pahit untuk menginsafi sesuatu.
Kita mungkin tersilap apabila mengikat erti ketegasan kepada fizikal, lemah lembut pula kepada pendirian dan sikap. Akibatnya, apabila kita mahu bertegas, kita melakukannya secara fizikal. Sedangkan cara fizikal itu sering pula tidak menzahirkan ketegasan sebagaimana yang kita mahu, terutamanya apabila anak akhirnya lebih keras daripada kekerasan bapa. Akibatnya bapa kalah kerana bapa menyayangi anak, lebih daripada keupayaan anak menyayangi bapanya. Sifat sayang boleh membatalkan ketegasan fizikal apabila bapa ‘berlemah lembut’ pada pendirian.
Apatah lagi, garangnya bapa itu selektif.
Garang pada pelajaran, ‘lemah lembut’ dalam agama.
“Besar esok tahulah dia sembahyang sendiri” bapa ‘merestui’ kemalasan anak mengerjakan solat.
Demikian juga berlemah lembut yang dikelirukan dengan sifat manja, beri muka, apa hendak semua dapat. Demi kasih sayang, diberikan apa sahaja menurut kemahuan si anak, melakar jalan ‘Sazali’.
Apabila mahu bertegas, tegaskan pendirian, dengan bahasa yang kemas. Jangan bertegas dengan kekasaran fizikal untuk menzahirkan ketegasan.
Apabila mahu berlemah lembut, lunakkan tindak tanduk tubuh badan, dengan lisan dan tangan yang mengasihi dan membahagiakan. Jangan berlemah lembut dengan toleransi peraturan untuk menzahirkan imej ‘cool‘, ‘sporting‘ atau ‘supporting‘.
Ia tidak mudah.

abang geram
Ia adalah usaha berterusan, semata-mata demi redha-Nya.

Monday 4 November 2013

Ucapan Salam Maal Hijrah Atau Awal Muharam 1435H / 2013 | 2014 Masihi

Assalamualaikum... Salam Maal Hijrah.... Salam sejahtera............
Salam Maah Hijrah 1435H
Sempena tahun baru hijrah ini, saya dengan penuh tawaduk mengucapkan "Salam Maal Hijrah 1435H" atau "Awal Muharam" 1435H / 2013|2014 Masihi kepada seluruh umat Islam seluruh dunia dan Malaysia amnya. Tema Maal Hijrah adalah "Watasiyyah Tonggak Kesatuan Ummah".Tidak dilupa kepada semua semua keluarga yang dikasihi dan rakan-rakan blogger yang saya dikenali atau pun tidak dikenali. Salam kemaafan jika ada tersilap kata disepanjang salatulrahim dan perkenalan kita.

Info Berkaitan Salam Maal Hijrah atau Awal Muharam

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umatIslam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinahpada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
Di Malaysia hari tersebut merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.


Doa Akhir Tahun Maal Hijrah



Awal Muharam, Maal Hijrah, doa akhir tahun
  •  Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
  • Dengan izin Allah, sesiapa yang membaca Doa Akhir Tahun ini akan mendapat Perlindungan Allah SWT dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa yang lalu.


  Doa Awal Tahun Maal Hijrah


Awal muharam, doa akhir tahun, Maal Hijrah 1435H
  • Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas Maghrib pada malam 1 Muharram 1435 (Hari Isnin malam Selasa).
  • Barangsiapa membaca doa Awal Tahun ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba’diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun yang mendatang.


Semoga kita semua berhijrah ke arah kebaikan, penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala dan Nabi Junjungan kita Rasulullah S.A.W. Kecintaan kita kepada Allah Taala Dan Rasulullah agar dapat di perkukuhkan. Tranformasikan juga kehidupan kita supaya sempena Maal Hijrah ini agar segala amalan dan ketakwaan kita kepadaNya mendapat ganjaran pahala dan keberkatan. Saya berdoa agar anda semua dilindungi oleh Allah Taala.

-abang geram
Salam Maah Hijrah 1435H

Sunday 20 October 2013

Status Facebook Terbaik

Aku dah senaraikan 15 status facebook terbaik yang pernah aku post sepanjang tahun 2013 ni, setakat ni. Terbaik pada pendapat aku la kan. Nampak sangat syok sendiri! Haha. So, entri ni bertujuan untuk berkongsi status-status yang mungkin bersangkut-paut dengan pembaca-pembaca sekalian. Kalau takde sangkut paut, pergi sangkut baju sana. Kbai.

  • Dalam hidup ni, kenangan yang paling indah selalunya tidak dirakamkan oleh kamera.
  • Hargai apa yang sedang kamu miliki sebelum ia bertukar menjadi apa yang pernah kamu miliki.
  • Hadiah yang terbaik daripada kita untuk seseorang ialah masa. Kerana kita tidak akan mungkin mendapatkan masa itu semula. Jadi, luangkan masa dengan mereka yang tersayang kerana sesungguhnya itulah hadiah yang terbaik.
  • Belajar menghargai apa yang kamu miliki sekarang ini. Atau masa akan mengajar kamu untuk menghargai apa yang kamu miliki sekarang ini.
  • Kita mungkin tidak dapat mengubah orang lain. Tapi kita dapat mengubah persepsi kita terhadap orang lain.
  • Selalu kita nampak orang yang dapat peluang tapi dia sia-siakan peluang tu. Orang yang beriya-iya mahukan peluang tu pula? Tak dapat peluang tu langsung! Jadi, bersyukurlah dengan setiap peluang yang kita dapat kerana bukan semua berpeluang mendapat peluang seperti yang kita dapat. Ucap alhamdulillah.
  • Senyum. Tunjukkan pada mereka yang pada hari esok kita lebih kuat daripada hari ini.
  • Hari yang baik memberikan kita kegembiraan. Hari yang buruk memberikan kita pengalaman. Dan kedua-duanya penting dalam hidup kita.
  • Matematik mungkin telah mengajar kita tambah, tolak, darab dan bahagi. Tapi Matematik juga telah mengajar kita bahawa setiap masalah itu ada penyelesaiannya!
  • Carilah pasangan yang dapat mengubah hidup kita (ke arah yang lebih baik) dan bukannya pasangan yang hanya dapat mengubah status kita semata-mata.
  • Salah satu keajaiban gambar-gambar yang kita ambil ialah gambar-gambar itu tidak berubah (kecuali photoshop!) biarpun orang yang berada dalamnya telah berubah.
  • Lelaki yang bijak akan membuka minda wanita. Lelaki yang kacak akan membuka mata wanita. Lelaki yang beriman akan membuka hati wanita.
  • Ciri lelaki sejati ialah berupaya untuk menjadi imam pada bila-bila masa, di mana jua.
  • Aku percayakan cinta pandang pertama. Sebab aku masih cintakan ibu dan ayah pada aku saat pertama kali aku buka mata.
  • Lupakan apa yang telah menyakitimu pada masa lalu. Tapi jangan lupakan apa yang telah kamu belajar daripadanya.
Abang geram

Monday 22 July 2013

Malam Lailatul Qadar

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :- 

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?


Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh"(Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar


Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Mestikah Mendapat Tanda ?


Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?


Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?


Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-

1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.


Abang geram
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.



Tuesday 9 July 2013

Lafaz Niat Puasa Ramadhan

Niat Puasa Ramadhan

Tidak wajib dan tidak juga sunat berniat dalam bahasa Arab, memadai dalam bahasa Melayu atau apa-apa bahasa yang kita fahami. Tetapi baik dan berpahala jika diamalkan dalam bahasa Arab dengan niat kita cinta kepada bahasa Arab sebagai bahasa Nabi Muhammad s.a.w. dan bahasa Al-Quran.

Lafaz niat

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.
atau
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Yang Lengkap:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
  • Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa, malah ada niat atau cita-cita di dalam hati untuk bangun sahur itu juga dikira sudah berniat untuk berpuasa kerana seseorang itu tidak bangun sahur atau bercita-cita bangun sahur melainkan bertujuan untuk berpuasa esok harinya, melainkan jika dia memang berniat tidak mahu berpuasa jika tidak terjaga semasa waktu sahur.
Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:
Lafaznya:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu lafaz niatnya:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala.

Waktu berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

-abang geram

Thursday 4 July 2013

Ucapan Ramadan al-Mubarak

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa  umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan  hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah
Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

Oleh itu abang geram terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah.

-abg geram
 Hidup ini terasa indah jika ada maaf.